Telah berlalu masa tanpa kita sedar. Atau pun kita sedar, tetapi seakan buat – buat sedar dek hanyut dalam nafsu duniawi.
Seringkali juga, kita merasakan perasaan untuk melawan nafsu. Adakala, kita tidak ingin pun ber-facebook, tapi tak mampu pula kita melawan keinginan itu. Kita ingin bangun atau bangkit pada waktu subuh, solat berjamaah di masjid, tapi tidak juga mampu. Kita juga ingin meninggalkan segala akhlak – akhlak yang buruk kerana jelek dengan sikap itu. Tetapi tidak juga kita mampu.
Secara sedar, pernah juga hati kita berkata : “Apa sebabnya yang membuatkan aku begini? Sehingga tak mampu untuk berubah? Tidak mempu untuk bertindak? Malah seakan aku rasa tidak lagi yakin dengan diri aku, bahawa aku mampu untuk berubah. Aku sudah hilang percaya.”
Akhi, sebab utama untuk kita merasa begitu adalah, lemahnya keinginan hati & tewasnya kita apabila berhadapan dengan nafsu. Biarpun akal kita telah kita sediakan dengan pelbagai bahan bacaan, mahupun ceramah – ceramah para asatizah, jika tidak kita sertakan bersama keinginan hati yang kuat, semua usaha kita tidaklah begitu berjaya. Kerana yang mampu membuat anggota badan kita untuk “benar-benar” bertindak adalah hati. Hatilah raja bagi tubuh badan kita. Kalau pun ada satu tindakan yang ingin kita lakukan, tetapi hati kita tidak redha malah menolak perbuatan itu, apakah akan kita lakukan?
Rasulullah saw bersabda dalam hadithnya :
} ألا في الجسد مضغة, إذا صلحت صلح الجسد كله, وإذا فسدت فسد الجسد كله, ألا وهي القلب {
Mafhum hadith : { Sesungguhnya bagi setiap jasad itu ada mudighah, apabila suci mudighah itu sucilah seluruh jasad itu, dan apabila fasad mudighah itu fasadlah seluruh jasadnya, (tahulah kamu) sesungguhnya ia adalah hati}
Ikhwati fillah, yang ingin ana sampaikan disini adalah, biarpun akal sihat kita telah pun merelakan kita untuk berubah tetapi tidak hati kita, maka perubahan yang ingin kita capai itu mungkin akan tidak kemana. Kerana hatilah ibu bagi segala perasaan & kasih sayang.
Oleh itu ikhwati fillah, marilah kita kembali kepada hati kita, atau mungkin mudah ana katakan jiwa. Kembalilah kita kepada jiwa-jiwa kita. Perasaan-perasaan kita. Kita lihat kembali, apa sebenarnya hati, jiwa, dan perasaan kita. Kemana sudah kita tujukan jiwa-jiwa kita. Apakah pada dasar yang suci? Atau sudah kita rendamkan dengan bintik-bintik hitam? Nauzubillah min zalik.
“Ini lah perang yang terbesar yang akan kita alami, setiap jam, setiap minit, dan setiap saat. Bersedialah hai syabab-syabab al-ummah!”
Sumber : How to change ourselves - Magdy Al-Helaly.
No comments:
Post a Comment